Minyak Enjin

Minyak Hitam Kereta Umpama Nyawa Pada Enjin!

Minyak Hitam Kereta Umpama Nyawa Pada Enjin!

Sebagai seorang mekanik yang dah lama dalam bidang membaiki kereta, ada satu perkara yang selalu saya tekankan pada pelanggan. Perkara yang saya maksudkan adalah tentang penjagaan minyak hitam kereta. Ramai orang anggap minyak hitam ni perkara kecil sahaja, tapi yang sebenarnya minyak hitam umpama “nyawa” pada enjin. Kalau anda tersalah pilih minyak hitam atau selalu mengabaikan jadual penukarannya, bersedialah untuk terima bermacam-macam masalah enjin yang akan memeningkan kepala anda.

Penting Pemilihan Minyak Hitam Yang Tepat

Kebanyakan pelanggan datang ke bengkel akan bertanya soalan cepu emas yang biasa didengar,, “Minyak hitam apa yang sesuai untuk kereta saya?” Nak jawab soalan ni kena tengok dulu jenis dan usia kereta baru boleh cadangkan minyak hitam mana yang terbaik. Kereta baru biasanya disyorkan guna minyak fully-synthetic sebab ikatan molekulnya lebih halus Minyak jenis ni direka untuk melindungi enjin moden yang lebih binaannya lebih kompleks dan agak kompak.

Kereta yang berusia pula lebih sesuai menggunakan minyak hitam jenis mineral ataupun semi-synthetic. Sebab enjin yang dah berusia perlukan minyak yang lebih tebal untuk menampung komponen yang mungkin dah mengalami kehausan tanpa kita sedar.

Contoh mudah untuk anda faham, kereta moden macam Toyota Vios (2022) biasanya pengeluar cadangkan penggunaan minyak jenis fully-synthetic seperti yang tertulis di dalam buku manual. Tapi kalau untuk kereta yang dah berusia Proton Wira keluaran tahun 2000, mungkin minyak semi-synthetic atau mineral lebih sesuai dengan keadaannya.

Bila anda tersalah pilih jenis minyak hitam kereta, sebagai contoh anda memilih jenis minyak yang terlalu nipis untuk enjin yang dah berusia. Minyak mungkin boleh membolos masuk ke dalam ruang pembakaran dan terbakar dengan cepat disebabkan toleransi antara komponen enjin dah longgar.

Kalau gunakan minyak hitam yang terlalu tebal untuk enjin baru, ia akan menyebabkan enjin bekerja dengan lebih keras. Sekaligus perkara ni boleh menjejaskan prestasi dan meningkatkan penggunaan bahan api kereta anda.

Apa Kandungan Minyak Hitam?

Minyak hitam kereta ni bukan sekadar minyak pelincir yang biasa kita tengok kat mana-mana.Minyak ni sebenarnya campuran minyak asas dan bahan tambahan (additives) yang direka untuk melindungi enjin dan mengawal kepanasan yang terlampau tinggi. Setiap jenis minyak hitam mengandungi bahan seperti berikut:

  • Detergen: Membersihkan deposit karbon dan kotoran dalam enjin.
  • Anti-oksidan: Mencegah sifat minyak dari menjadi berasid akibat telalu panas.
  • Modifier Viskositi: Membantu keadaan minyak agar kekal stabil dalam suhu sejuk dan panas.

Minyak fully-synthetic biasanya mengandungi bahan additives yang lebih canggih fungsinya untuk enjin, sebab itu harganya lebih mahal dari jenis minyak enjin yang lain. Tapi percayalah, setiap ringgit yang anda laburkan untuk minyak yang terbaik pasti akan balik dalam bentuk enjin yang lebih berprestasi dan tahan dari kerosakan.

Kisah Tersalah Pilih Minyak Hitam

Saya ingat lagi seorang pelanggan yang gunakan Perodua Myvi datang mengadu yang enjin keretanya hilang power. Selepas diperiksa, rupa-rupanya dia gunakan minyak hitam jenis mineral sahaja. Sedangkan yang tertulis dalam buku manual, spesifikasi enjin Myvi perlukan minyak hitam jenis synthetic dan bukannya mineral. Keadaan minyak mineral terlalu tebal, ia akan mengganggu kitaran minyak pelincir di seluruh enjin. Selepas saya cadangkan pada pelanggan dan tukarkan jenis minyak yang lebih sesuai, masalah pun selesai. Tapi pelanggan ni dah buang masa dan wang ringgit sebab tak pernah tahu jenis minyak enjin yang sepatutnya diguna.

Pemilihan gred dan jenis minyak hitam yang salah bukan sahaja boleh mempengaruhi prestasi enjin, juga boleh menyebabkan komponen penting cepat untuk mengalami kehausan. Jika masih dibiarkan tanpa penyelesaian, kos baik pulih enjin pula akan meningkat. Kosnya jauh lebih tinggi berbanding dengan penjimatan yang “kononnya” beli minyak murah.

Kesan Buruk Bila Lewat Tukar Minyak Hitam

Minyak hitam tak akan pernah kekal efisyen bertahun-tahun lamanya kalau tak diganti. Fungsi asasnya adalah untuk melincirkan komponen enjin, menyerap haba, dan membersihkan deposit kotoran. Bila minyak tu dah terlalu lama digunakan, ia akan hilang keupayaan asalnya. Saya selalu pesan pada pelanggan: “Minyak hitam ni umpama macam span basuh pinggan, kalau dah terlalu lama digunakan, akan hilang keupayaan untuk serap kotoran.”

Kalau anda biarkan minyak hitam terlalu lama di dalam enjin, apa anda rasa akan jadi? Deposit karbon akan mula terkumpul dan menjadi “lumpur” yang menyumbat saluran minyak pelincir di seluruh enjin. Komponen enjin akan terdedah dengan masalah kehausan sebab kurangnya pelinciran. Dalam jangka masa yang panjang, enjin akan cenderung untuk mengalami masalah overheating atau kegagalan berfungsi sepenuhnya.

Saya pernah ada kes seorang pelanggan yang menggunakan Proton Exora datang ke bengkel kami sebab enjin keretanya berbunyi agak kasar. Bila saya periksa, warna minyak hitam dia dah macam warna minyak tar. Hitam pekat dan penuh dengan kotoran! Nak tahu berapa kos untuk baiki? Jumlahnya hampir RM5,000 sebab masalah seperti ni melibatkan overhaul enjin. Bayangkan semua tu boleh dielakkan kalau pelanggan ni sentiasa ikut jadual tukar minyak hitam dengan lebih berdisiplin.

Warna Minyak Hitam: Apa Rahsianya?

Warna minyak hitam boleh bagi anda petunjuk awal tentang kesihatan ataupun keadaan dalaman enjin. Minyak hitam yang baru dimasukkan biasanya berwarna kuning keemasan atau sedikit coklat. Tapi bila dah digunakan untuk tempoh tertentu, warnanya akan berubah menjadi lebih gelap. Perkara ni berlaku disebabkan adanya penyerapan karbon dan kotoran di dalam enjin.

Sedikit petunjuk tentang warna dan keadaan minyak hitam:

  • Gelap tapi masih likat: Ini normal jika anda ikut jadual penukaran seperti biasa. Minyak bekerja dengan baik.
  • Sangat gelap dan cair: Tanda minyak dah mula kehilangan keupayaan untuk memberikan pelinciran.
  • Bercampur buih atau berwarna seperti susu: Ini petanda air telah masuk ke dalam enjin dan mungkin juga sebab gasket dah bocor.

Ada diantara pelanggan yang datang mengadu minyak hitam keretanya berbuih selepas perjalanan jauh. Saya terus syak ni memang masalah yang serius. Lepas diperiksa, rupanya radiator dah bocor dan air dah pun masuk ke dalam enjin. Mujurlah pelanggan ni cepat bertindak untuk terus datang ke bengkel sebelum kerosakan enjin bertambah teruk.

Keburukan Tersalah Pilih Gred Minyak Hitam

Selain dari kurang berdisiplin dan melewat-lewatkan jadual penukaran minyak hitam, satu lagi kesilapan yang biasa berlaku adalah tersalah pilih gred minyak. Setiap minyak hitam ada nombor SAE (contohnya 5W-30 atau 10W-40) yang menunjukkan kelikatan minyak pada suhu sejuk dan panas. Pemilihan gred ni penting sebab teknologi enjin moden direka dengan komponen yabg lebih kompak. Jadi, gred minyak mestilah sesuai dan mengikut apa yang ditulis di dalam buku manual oleh pengeluar.

Seorang pemilik Perodua Alza selalu pilih gred minyak hitam 20W-50 sebab harganya lebih murah. Dia tak sedar pun yang gred minyak tu terlalu tebal dan tak sesuai digunakan untuk enjin Alza. Hasilnya, enjin kereta dia jadi makin berat dan penggunaan bahan api pun meningkat. Untuk atasi masalah ni saya terpaksa bersihkan deposit karbon yang dah pun menebal di dalam enjin keretanya.

Jangan Pernah Abaikan Jadual Penukaran Minyak Hitam

Berapa kerap kena tukar minyak hitam? Jawapannya bergantung pada jenis minyak dan cara anda memandu. Minyak fully-synthetic biasanya tahan sehingga 10,000 km atau dalam tempoh 6 bulan, ikut mana yang sampai dulu. Tapi kalau anda selalu memandu dalam keadaan trafik yang sesak, mungkin minyak hitam perlu ditukar lebih awal dari jadual sepatutnya.

Jangan lupa untuk sentiasa ikut jadual yang disyorkan oleh pengeluar kereta dan jangan sesekali cuba untuk extend.

Kalau masih tak pasti, anda boleh cuba periksa keadaan minyak hitam dengan menggunakan dipstick. Kalau minyak dah cair, terlalu hitam, atau kurang dari paras yang sepatutnya, itu tanda dah sampai masanya untuk ditukar.

Jagalah Minyak Hitam, Sayangi Enjin Anda!

Minyak hitam mungkin nampak macam benda remeh! Sebenarnya ia memainkan peranan sangat besar untuk memastikan enjin kekal berprestasi. Pilih minyak yang bersesuaian, tukar mengikut jadual, dan jangan sesekali abaikan tanda-tanda awal kerosakan. Enjin yang dijaga dengan baik bukan setakat boleh panjang jangka hayatnya, juga boleh menjimatkan wang ringgit anda untuk tempoh masa yang panjang.

Ingat pesan saya: Bila minyak hitam bersih, enjin pun kekal berprestasi!

Pos berkaitan

No Content Available